SEDAKA JUARA PERTANDINGAN WATER VISION 2013

Tahniah dan syabas kepada Pn Nor Hanim Bt. Abu Bakar dan anak buah beliau dari Tingkatan 5S1 iaitu Nur Yasmin Bt. Abd Razak, Nurul Akmar Bt. Awang, Ida Syazana Bt. Mohamad Annuar dan Khuzaimah Bt. Mohd. Sallehudin kerana menjadi Johan untuk Pertandingan Water Vision 2013. Pemenang menerima hadiah Ipad Mini dan Perkhemahan 3 hari 2 malam di Kompleks Hutan Belum-Temenggur. Manakala pihak sekolah pula akan menerima Sistem Penuaian Air Hujan. Semoga kejayaan mereka akan menjadi contoh dan pendorong kepada semua warga SEDAKA untuk terus berjaya dalam apa jua aktiviti yang diceburi.

 

HARI ANUGERAH CEMERLANG SEDAKA 2013

  • Tarikh   :  14 Jun 2013
  • Hari      :  Jumaat
  • Masa    :  08:00 pagi
  • Tempat :   Dewan Terbuka SEDAKA

  • Perasmian oleh :

YB Dr. Hj. Muhammad Amin Bin Zakaria, PPT

Pengerusi Pelajaran, Alam Sekitar dan  Teknologi Hijau,
Merangkap ADUN Batu Kurau

 

 

KEPUTUSAN PERTANDINGAN SILAT SENI SEKOLAH MENENGAH DAERAH LMS 2013

Ucapan tahniah dan penghargaan kepada Pasukan SIlat Seni SMK Dato’ Kamaruddin kerana telah menjuarai Pertandingan Silat Seni Kategori Sekolah Menengah Daerah LMS bagi tahun 2013.

Tidak lupa juga kepada ucapan ribuan terima kasih kepada  semua Ahli Jawatankuasa yang terlibat khususnya guru-guru dari SMK Dato’ Kamaruddin, Batu Kurau kerana telah berjaya menganjurkan Kejohanan SIlat Seni Sekolah Rendah dan Menengah Daerah LMS 2013 yang telah berlangsung selama 2 hari, bermula pada hari Jumaat ( 10/5/2013 ) dan berakhir pada hari Sabtu ( 11/10/2013 ) di Kolej Vokasional Taiping.

Petua Menjadi Pelajar Cemerlang Menurut Al-Quran

Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?

Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu’minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT 

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.” [23:1]

Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.

02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

“iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” [23:2]

Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.

03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.

“dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna).” [23:3]

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.

Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.

Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu’, melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.

Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

04.Prihatin sesama kita

“dan orang-orang yang menunaikan zakat.” [23:4]

Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.

05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

“dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.” [23:5,6,7]

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.

Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

06.Jujur, amanah

” dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya.”[23:8]

Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?

Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah “Bismillahi tawakkaltu ‘ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil ‘azim.”

07.Tepati waktu

“dan orang-orang yang memelihara solatnya.” [23:9]

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.

Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

” Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya.” [23:10,11]

” ….Maka di antara manusia ada yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.’ Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat.”[2:200]

“Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.” [2:201]

“Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya.” [2:202]

Sab, 09 Apr 2011 08:00 | Dr. Munirah | aeyie®

- Artikel iluvislam.com

SAJAK GURU OH GURU – USMAN AWANG

Sajak Guru Oh Guru oleh Seniman Negara Usman Awang membawa makna yang besar kepada warga pendidik.  Saya mengajak kepada seluruh warga guru untuk membaca, memahami serta menghayati sajak ini. Mudah-mudahan ia akan menjadi pendorong kita untuk menjadi guru cemerlang sepanjang perkhidmatan.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Kelebihan Surah Al-Insyirah

Nabi Muhammad S.A.W bersabda : “Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku”.

Barangsiapa membiasakan membaca surah Alam Nasyrah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah permudahkan urusannya serta dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya.

Sesiapa yang membacanya nescaya Allah turut melapangkan dadanya serta dijauhkan daripada segala kesukaran dalam segala urusannya. Dihilangkan segala sifat kesal dan jemu, serta mendatangkan rajin dalam mengerjakan ibadat.

Barangsiapa membaca Alam Nasyrah sembilan kali sesudah solat fardhu nescaya Allah akan menjauhkan daripada kesempitan hidup dan dimudahkan rezeki dalam segala urusan.